fbpx

‘Biar susah, asalkan anak bersekolah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR CAHAYA bersama enam anaknya yang masih bersekolah dan seorang cucu ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kota Warisan semalam.

SEPANG – Status tunggal tidak pernah mematahkan semangat seorang wanita untuk memberikan pendidikan terbaik kepada enam anaknya yang masih bersekolah sekalipun mereka hidup dalam serba kekurangan.

Nor Cahaya Salleh, 47, me­ngakui kehidupannya semakin sukar selepas kematian suami, Abdullah Alam Lasa, pada September lalu akibat kanser paru-paru.
Wanita yang berasal dari Sepanggar, Sabah itu berkata, sejak kehilangan suami, dia terpaksa menjadi ketua keluarga bagi menyara dan membesarkan kesemua anaknya termasuk enam yang

masih bersekolah iaitu berusia lapan hingga 16 tahun.

“Saya mempunyai 12 orang anak dengan enam daripadanya masih bersekolah. Tiga sudah bekerja dan tiga lagi masih mencari pekerjaan.

“Buat masa ini saya tidak mahu membebankan anak-anak yang telah bekerja kerana tahu gaji mereka tidaklah sebesar mana. Contohnya, anak kedua saya yang berusia 25 tahun hanya bekerja sebagai tukang cuci.

“Dia sudahpun berkahwin dan mempunyai anak kecil berusia dua tahun, jadi dia juga menyara keluarganya sendiri walaupun kami tinggal serumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kota Warisan di sini semalam.

Menurut Nor Cahaya, enam anaknya yang masih bersekolah berusia antara lapan hingga 16 tahun.

Jelasnya, Abdullah Raman, 16, Siti Zainab, 15, dan Mohd. Imran, 13 bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sepang manakala Siti Rasira, 11, Mohd. Daud, 9, dan Sulaiman, 8, bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Kota Warisan.

Nor Cahaya berkata, empat lagi anaknya sudah dewasa dan bekerja, namun dia tidak mahu menambah beban mereka dalam membantu menanggung kehidupan keluarga.

“Saya tidak bekerja dan kehidupan kami sekeluarga kini hanya mengharapkan ihsan orang ramai yang prihatin dalam memberikan bantuan makanan dan keperluan asas.

“Mujur anak-anak memahami dan tidak pernah sesekali me­rungut. Mereka makan sahaja apa yang saya sediakan seperti telur goreng dan sayur,” katanya.
Biarpun ditimpa ujian besar, Nor Cahaya cekal menempuh hidup dan mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak­nya termasuk dari segi pendidikan agar mereka mempunyai masa depan yang cerah.

“Namun atas desakan hidup, ada ketikanya anak-anak tidak dapat pergi ke sekolah kerana saya tidak mampu membayar duit tambang pengangkutan.

“Anak-anak pun faham akan kesempitan hidup yang dialami. Namun apabila ada pihak yang sudi membantu kami, saya cukup bersyukur,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Cahaya menerusi talian 017-2506976 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 1299541100164481.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI