SHAH ALAM – Seorang bekas kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan RM650 supaya tidak memotong bekalan elektrik dua buah rumah sewa dua pemandu grab, Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Syauqi Mohammad Kamil, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa meminta suapan daripada dua lelaki yang merupakan pemandu grab berusia 31 dan 47 tahun masing-masing RM400 dan RM250 agar tidak memotong bekalan elektrik di rumah sewa mereka di Cahaya SPK, Seksyen U9 di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Setia Alam pada 8 dan 9 Januari lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dengan syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Selangor sebulan sekali.
Peguam Zamri Idrus mewakili Muhammad Syauqi memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM2,500 setiap pertuduhan kerana anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan.
Hakim menetapkan jaminan keseluruhan RM5,000 untuk dua pertuduhan tersebut dan membenarkan syarat tambahan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 18 Januari 2021. – K! ONLINE