fbpx

Balasan pegawai imigresen terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zalizi (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi pertuduhan rasuah bernilai RM12,000.

SHAH ALAM – “Orang yang makan rasuah atau beri suapan jadi bahan bakar api neraka,”

Demikian nasihat keras Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 30 hari kepada seorang pegawai imigresen, Zalizi Ismail, 26.

Tertuduh juga dihukum denda RM20,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah hari ini terhadap pertuduhan pilihan menerima wang tunai RM12,000 bagi melepaskan dua warga China yang menjadi tahanan Imigresen, minggu lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu yang bertugas sebagai pegawai imigresen Gred 19 telah menerima wang RM12,000 dengan tiada balasan daripada seorang individu berusia 40 tahun bagi mempercepatkan proses dua warga China yang ditahan reman Jabatan Imigresen untuk dilepaskan pulang ke negara mereka.

Zalizi yang merupakan Penolong Pegawai Penyiasat di bahagian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melakukan perbuatan tersebut di sebuah outlet makanan di dalam stesen minyak KLIA 2, Jalan Terminal Lapangan Terbang Antarbangsa Sepang pukul 7.37 petang, 2 Disember lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding tersebut, Zalizi yang tidak diwakili peguam merayu dalam keadaan menangis agar dikenakan hukuman yang ringan berikutan telah insaf akan tindakannya itu.

“Saya insaf, taubat tidak akan buat lagi dan mohon denda untuk satu bulan gaji iaitu RM1,460.

“Tambahan, isteri tidak bekerja dan mempunyai seorang anak berusia setahun selain perlu menyara bapa dan adik di kampung,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab. Wahab menegaskan rasuah merupakan pertuduhan serius dan mengambil jumlah (rasuah) sangat besar iaitu RM12,000.

“Tertuduh sebagai pegawai Imigresen sepatutnya memastikan undang-undang dimartabatkan namun sebaliknya apabila melanggar amanah dan kepercayaan telah diberikan (sebagai penjawat awam),” katanya.

Sementara itu, suasana di galeri mahkamah tiba-tiba sayu apabila Zalizi dilihat menangis sambil mencium anak lelakinya berulang kali selain isteri yang hadir selepas tamat prosiding berkenaan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pegawai Imigresen yang bertugas di bahagian operasi KLIA ditahan pukul 7.45 malam pada Rabu lalu di Petronas KLIA.

Penahanannya berikutan disyaki meminta rasuah sebanyak RM22,000 bagi melepaskan dua warga China yang ditahan atas kesalahan menggunakan cop palsu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI