KLANG – Jika sebelum ini penduduk di Pandamaran Jaya dihantui bunyi ketukan pintu namun kelmarin mereka dikejutkan dengan bunyi orang berlari atas bumbung rumah.
Penduduk mendakwa bunyi tersebut terlalu kuat bagai nak runtuh bumbung dan menakutkan penduduk khususnya yang tinggal di Jalan 77 di sini.
Seorang penduduk, Fara Niesha Azman, 28, mendakwa, pada mulanya dia dan suami terdengar bunyi ketukan pintu sekitar pukul 11.30 malam ketika masing-masing bersiap untuk tidur di tingkat atas.
“Ketukan pertama dan kedua hanya sekejap tetapi ketukan ketiga paling kuat. Malah selang beberapa saat kami terdengar bunyi orang menggoncang pintu dengan kuat.
“Suami turun ke bawah untuk memeriksa bunyi tersebut bagaimanapun mendapati pintu rumah ibu saudara, Mariam Othman, yang berada di sebelah
rumah kami yang diketuk,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.
Artikel berkaitan https://www.kosmo.com.my/2020/12/08/pintu-bilik-tidur-pula-diketuk/
Dakwa Fara, selang beberapa saat mereka terdengar pula bunyi orang berlari dengan kuat di atas bumbung rumah.
“Bunyi itu amat menakutkan. Saya hubungi ibu saudara (Mariam) dan dia memaklumkan terdengar bunyi yang sama.
“Apa yang kami alami rupanya turut dilalui beberapa penduduk lain dan perkara itu diketahui melalui aplikasi WhatsApp keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Mariam mendakwa, dia terdengar bunyi ketukan kuat seperti orang bertukang sebanyak tiga kali di bahagian belakang dan hadapan rumah secara berselang seli.
Katanya, ketika kejadian kira-kira pukul 11.35 malam, dia berada di bilik tidur di tingkat atas sementara suaminya, Osman Mohd. Nor di tingkat bawah.
“Selepas dengar bunyi tersebut, saya terus ke tingkat bawah dan suami memaklumkan dia tidak mendengar apa-apa. Namun selang beberapa saat, kami dengar bunyi orang berlari atas bumbung rumah,” dakwanya.
Artikel berkaitan https://www.kosmo.com.my/2020/12/08/penduduk-kampung-melayu-majidee-turut-diganggu/
Menurutnya, dia ada bertanya kepada dua jiran bersebelahan rumahnya dan mereka memaklumkan turut terdengar bunyi orang bertukang dengan kuat dari arah rumahnya sehingga terganggu tidur.
Ujarnya, berdasarkan makluman jiran-jiran, hampir 10 kediaman telah diganggu malam kelmarin melibatkan Jalan 6, 11 dan 12 dan pihak polis juga turut melakukan rondaan bersama penduduk susulan kejadian yang sama beberapa hari lalu.
Terdahulu, misteri ketukan pintu kediaman mula berlaku di beberapa kampung di Sabak Bernam sebelum merebak ke Kuala Selangor dan Melaka sejak beberapa hari lalu hingga menggusarkan ramai penduduk.