KUALA LUMPUR – Empat pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh iaitu S.Vickeswaran ,22, P.Kogilan, 23, M.Ravindran, 23, dan T.Sugu, 27, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Vickeswaran bekerja sebagai pengawal keselamatan, Kogilan bekerja sebagai penghantar surat, Sugu merupakan juruelektrik manakala Ravindran tidak bekerja.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama-sama telah melakukan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan Wan Embong,73, di kediammnya di Jalan Mambu Bukit Bandaraya di sini antara pukul 3.35 dan 4 pagi pada 29 November lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 9 Mac 2021 untuk sebutan semula kes termasuk laporan forensik.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen mereka turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompak secara berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang dan sebatang tukul besi ke atas seorang jurutera Mohd. Muzaffar Zulkifli Martin, 33, dengan anggaran kerugian sebanyak RM38,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini antara pukul 4.12 pagi dan 5.30 pagi pada tarikh sama.
Bagi kes itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan dan Hakim Izralizam Sanusi tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin selain menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes. – K! ONLINE