KUALA LUMPUR- Kira-kira 1,000 penggiat industri muzik mampu menarik nafas lega apabila bakal menerima royalti bernilai RM500 seorang yang dijangka dibayar pada awal tahun depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pembayaran royalti kepada pemuzik rakaman dan penyanyi tempatan itu melibatkan dana sebanyak RM11.7 juta yang tertunggak pada tahun 2018.
“Royalti itu akan dibayar kepada ahli bernaung di bawah badan perlesenan kutipan royalti muzik iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Right Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM).
“Jadi, untuk permulaan kita akan bayar sebanyak RM500 dahulu kepada mereka yang layak manakala bakinya akan dibayar selepas beberapa syarat diteliti oleh badan perlesenan masing-masing,” katanya di sini tadi.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat disertai oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai badan perantara bersama badan perlesenan terlibat berhubung isu kutipan dan agihan royalti industri muzik tempatan.
Katanya, antara kaedah digunakan bagi menetapkan pembayaran royalti kepada penerima termasuklah menerusi laporan penggunaan lagu yang dimainkan di badan penyiaran televisyen dan radio.
“Bagi penerima royalti awal bernilai RM500, mereka layak untuk mendapat bayaran seterusnya, namun berbeza dengan ahli lain, kelayakan hanya akan ditentukan melalui laporan penggunaan lagu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, badan perlesenan terbabit tidak bersetuju untuk melaksanakan moratorium terhadap royalti itu, namun bersedia berunding bagi menetapkan bayaran berpatutan.
“Badan perlesenan turut tidak bersetuju untuk mewujudkan badan perlesenan tunggal berikutan agihan royalti yang disifatkan tidak adil kepada pemuzik dan penyanyi,” jelasnya. -K! ONLINE