fbpx

Ular sawa kenyang telan kambing 65 kilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular sawa seberat lebih 130 kilogram di di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka.

ALOR GAJAH – Seorang penternak kambing terkejut besar apabila seekor kambing baka seberat 65 kilogram miliknya ditelan ular sawa sepanjang enam meter di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Ali Saad, 60, yang dibantu anak saudaranya, Azmi Zakaria, 39, menemui haiwan reptilia tersebut dalam keadaan kekenyangan dan melingkar berhampiran pagar kandang ternakannya.

Menurut Ali, ketika kejadian kedua-dua mereka sedang menghalau kambing dari kandang ke ladang kelapa sawit sebelum ternampak seekor ular sawa dengan keadaan perut membesar seperti telah menelan seekor kambing miliknya.

“Kami sangat terkejut dan percaya kambing jantan besar seberat 65 kilogram yang dijadikan baka untuk membiak lebih 30 ternakan di sini telah ditelan ular sawa tersebut.

“Kami menemui reptilia itu dalam keadaan melingkar berhampiran pagar dan perutnya membesar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ali berkata, teka-tekinya sebelum ini mengenai kehilangan lima ekor kambing bersaiz sederhana sejak awal tahun lalu turut terjawab apabila dipercayai ia telah ditelan ular sawa berkenaan.

“Bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana ular yang selama ini dipercayai telah menelan kambing-kambing saya akhirnya dapat ditangkap dengan bantuan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit APM Masjid Tanah, Leftenan Shahrul Riza Saiful Bahri berkata, empat anggota APM yang diketuai Lans Koperal Rozianti Yaakob tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.56 pagi.

Beliau berkata, usaha menangkap haiwan berbisa itu terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit ekoran haiwan itu menjadi agresif dan cuba melarikan diri ke ladang kelapa sawit.

“Pasukan APM terpaksa berhempas-pulas menangkapnya ditambah pula dengan saiz reptilia itu yang besar dengan berat lebih 130 kilogram.

“Ular tersebut akan diserahkan kepada Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh selepas dibenarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI