fbpx

Tiga ‘runner’ cuba seludup 31.2kg syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan menunjukkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas apabila tiga lelaki bertindak sebagai penghantar (runner) dicekup dalam operasi khas di Pantai Batu Layar dan Bandar Penawar, Kota Tinggi dekat sini Ahad hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi bermula pada pukul 7.15 malam itu turut berjaya merampas sejumlah 31.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta.

Menurutnya, suspek yang diberkas terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia antara 33 hingga 46 tahun.

“Operasi khas ini dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melibatkan empat serbuan di Kota Tinggi dan Johor Bahru dan menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah.

“Dua suspek dipercayai bertindak sebagai ‘runner’, mereka diberkas ketika menunggu bot di Pantai Batu Layar, Pengerang, Kota Tinggi.

“Susulan tangkapan itu, polis berjaya menjejaki seorang lagi rakan suspek dan menahannya di Bandar Penawar, Kota Tinggi,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, dadah jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina ditemui di dalam tiga tong plastik berwarna biru bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui 31.2kg dadah bernilai RM1.4 juta disyaki untuk diseludup ke negara jiran Indonesia.

Tambah beliau, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic yang digunakan suspek dalam kegiatan penyeludupan terbabit.

Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 13 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI