fbpx

Tiga lelaki Myanmar ditahan disyaki terlibat kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian bunuh di rumah kongsi dekat Bandar Baru Siputeh, Batu Gajah Sabtu lalu.

BATU GAJAH – Tiga lelaki Myanmar ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes bunuh membabitkan rakan senegara mereka di tapak rumah kongsi dekat Bandar Baru Siputeh, Pusing dekat sini, Sabtu lalu.

Kesemua suspek ditahan dalam tempoh 24 jam selepas majikan dan rakan sekerja memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek utama yang juga lelaki berusia 36 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi Ahad lalu selepas mereka kembali ke rumah kongsi berkenaan.

“Dua lagi rakannya yang juga suspek kedua dan ketiga berusia 29 dan 30 tahun pula ditahan kira-kira pukul 8.45 malam semalam di Jalan Bota, Tronoh, dekat sini.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 malam Sabtu lalu selepas polis menerima panggilan berlaku pergaduhan membabitkan warga Myanmar di sebuah rumah kongsi dekat Bandar Baru Siputeh,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, tempat kejadian adalah di hadapan rumah kongsi pekerja Myanmar di dalam kawasan belakang kilang memproses sisa buangan plastik.

“Rumah kongsi tersebut didiami empat orang pekerja warganegara Myanmar dan kejadian bermula apabila berlaku pergaduhan kecil melibatkan tiga suspek dengan mangsa yang berusia 36 tahun, di mana mangsa dipercayai ditikam menggunakan sebilah gunting yang turut dijumpai di tempat kejadian.

“Punca pertengkaran dipercayai akibat keempat-empat pekerja Myanmar tersebut mabuk selepas mereka minum arak di lokasi kejadian,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Hospital Batu Gajah.

“Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 November ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI