SEREMBAN – Dakwaan ketukan pintu misteri yang kononnya mula berlaku di beberapa kawasan Seremban khususnya di Taman Tasik Jaya dekat sini adalah tidak benar.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tasik Jaya, Abu Hasan Osman berkata, dakwaan bahawa pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk berkenaan perkara itu seperti yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp juga adalah palsu.
“Saya sudah membuat rondaan di taman perumahan di Taman Tasik Jaya ini. Namun, saya tidak menerima sebarang laporan mengenai ketukan pintu berkenaan. Saya tidak tahu siapa yang tidak bertanggungjawab menyebar perkara seperti ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, tular mesej yang meminta penduduk sekitar kawasan Ampangan, Sikamat, Panchor, Taman Tasik dekat sini supaya tidak membuka pintu rumah jika diketuk tujuh kali.
Mesej tersebut turut memaklumkan, ketukan misteri dari Sabak Bernam sudah ke Negeri Sembilan dan 25 buah kediaman di Taman Tasik sudah mengadukan perkara itu kepada pihak KRT untuk membuat rondaan.
Abu Hasan menjelaskan, dia akan membuat laporan polis berkaitan mesej tular tersebut kerana khuatir ia akan mengundang kerisauan dan ketakutan kepada penduduk mengenai hal berkenaan.
“Saya akan membuat laporan polis berkenaan hal ini,” katanya. – K! ONLINE