TAMPIN – Hajat penduduk kampung untuk menjala ikan dikejutkan dengan objek terapung yang rupa-rupanya mayat seorang lelaki di kolam mancing di Gedok, dekat sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Wahid Septiadi, warganegara Indonesia berusia lingkungan 20an ke 30an ditemui mati lemas.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 12.29 tengah hari oleh orang awam.
“Kita tiba di lokasi pada pukul 12.35 tengah hari dan mendapati jasad mangsa sudah terapung di dalam kolam berkenaan.
“Mangsa dipercayai pemancing. Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan tali menyelamat,” katanya ketika dihubungi dekat sini tadi.
Norfaizal berkata, mangsa disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis. – K! ONLINE