PETALING JAYA – Penyanyi lagu-lagu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui amat sedih dan berasa kecewa dengan kritikan pedas hebat yang dilemparkan khalayak buat dirinya, terutama poenerbit Michael Ang sepanjang beraksi dalam program Gegar Vaganva musim ketujuh (GV7).
Menurut Noraniza atau nama sebenarnya Nor Aniza Idris berkata, dia terbuka dan boleh menerima kritikan sesiapa sahaja termasuk Michael, namun ada batasnya.
“Saya tidak kisah untuk dikomen dan dihentam walaupun tiap-tiap minggu saya terus dikritik, saya masih boleh tutup mata.
“Tetapi, apabila sudah melibatkan hati keluarga sehingga mereka sedih dan menangis serta meminta saya berhenti daripada meneruskan perjuangan dalam GV7, perasaan saya jadi bercampur baur, sedih dan kecewa,” katanya.
Ujar pelantun lagu Dikir Puteri itu, dia perlu berdepan dengan Michael sendiri untuk tahu apa yang pengarah itu boleh lakukan untuk membantu genre lagu irama Malaysia pada masa hadapan tanpa Noraniza Idris.
“Saya tidak kisah kalau nama saya tiada dalam hikayat hidupnya (Michael Ang), cuma saya ingin tahu apa yang dia boleh lakukan terhadap Irama Malaysia melalui tip dan kritikan yang dia berikan terhadap saya.
“Kalau dia ada masalah dengan saya secara peribadi, saya nak jumpa dia dahulu. Saya cuma kenal dia melalui karya yang dia hasilkan sahaja.
“Saya sangat menghormati karya-karya yang dia hasilkan sebagai pengarah dan penerbit drama. Saya juga sangat menghargai usahanya jika dia berjaya mengangkat martabat Irama Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Noraniza menafikan bahawa dia telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa Michael memeluk Islam untuk mendapat populariti.
“Kenyataan itu tidak pernah keluar daripada mulut saya dan jangan putar belit kenyataan. Mungkin kenyataan itu keluar daripada mulut peminat yang ingin membela saya,” katanya.
Pada masa sama, Noraniza juga kesal apabila Michael dilihat kurang faham terhadap matlamat penganjuran GV sedangkan dia antara individu yang mencetuskan idea mewujudkan sebuah program yang memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi lama kembali beraksi di pentas besar.
“Kalau dia faham tentang matlamat penganjuran GV, kenapa dia tidak menghargai karya orang lain walaupun persembahan seseorang artis itu tidak sampai ke hatinya.
“Komenlah dengan cara yang baik sebab kita ada keluarga. Kalau saya tidak terasa sekalipun, ingat tentang perasaan keluarga saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo Online!
Noraniza juga meminta Michael juga tidak menggunakan bahasa tidak beradab kerana setiap kenyataan yang dikeluarkan boleh memberi contoh kepada orang lain. – K! ONLINE