fbpx

‘Rintihan saya, ada yang dengar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALYPH

KITA belum menang, kita masih dibelenggu permasalahan pandemik Covid-19 yang entah bila akan berpenghujung.

Covid-19 yang boleh digelarkan sebagai bencana alaf millenia buat semua golongan dan ‘ibu’ kepada banyak masalah ketika ini menghadirkan cabaran daripada pelbagai aspek.

Buat pemuzik dan anak seni kelahiran Singapura, Alyph, dia turut berdepan perkara sama.

Mungkin frekuensinya tidak sama dengan masyarakat marhaen lain tetapi menjadikan muzik sebagai periuk nasi, ada hal yang ingin dibicarakan pemilik nama lengkap, Muhammad Alif Abdullah itu.

Alyph enggan terlalu memperdagangkan kisah masalah berkaitan mental, bagaimanapun menurutnya, semua orang mempunyai potensi untuk berdepan dengan permasalahan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Bagi saya, cakna tentang isu kesihatan mental adalah sangat penting. Orang tidak tahu, bekerja sebagai seorang anak seni, adakalanya membuatkan kita kesunyian atau keseorangan.

“Alhamdulillah, saya mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat. Ada orang dengar rintihan hati saya. Kadang-kadang kita tidak jaga mental kita sehinggakan masalah itu terjadi tanpa kita sedari.

ALYPH mengakui tumpang berbangga dengan kejayaan kumpulan rap, K-Clique yang semakin diterima peminat arus perdana. – UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Depresi

“Kita manusia. Saya rasa kalau kita bersendirian ketika berdepan dengan permasalahan hidup, kita boleh pergi ke tempat yang salah.

“Sukar untuk bercakap tentang hal ini tetapi kalau perkara yang kita mahu lakukan tidak berlaku seperti yang dirancang, itu susah,” kata Alyph, 31, kepada HibGlam.

Dalam pertemuan secara maya tempoh hari, Alyph dengan cermat menyusun kata terutama saat bercakap soal depresi.

“Saya cuba sedaya upaya untuk simpan hal peribadi. Saya tidak selesa untuk berbicara tentang hal ini.

“Kalau boleh, saya mahu orang kenal saya melalui muzik yang dipersembahkan.

“Saya cuma berharap setiap apa yang saya rasakan akan dapat diterjemahkan dengan baik ke dalam jalur muzik saya. Itu sudah mencukupi.

“Saya ingin bantu orang menerusi seni.

“Itu yang cuba saya sampaikan sejak mula berkecimpung dalam bidang ini sehingga sekarang.

“Tetapi percayalah, sekarang saya okey dan berada dalam keadaan yang sihat untuk mendepani apa yang mendatang,” katanya.

MENURUT Alyph, jalur muziknya tidak hanya tertumpu terhadap R&B dan rap, sebaliknya dia terbuka untuk mencuba genre muzik lain seperti pop, rock bahkan irama tradisional.

Solo

Persoalan tentang kesihatan mental timbul apabila Alyph melalui perkongsian muzik terbaharunya, Adakah Kau Mendengar? seperti satu simbolisme pergelutan jiwa tentang permasalahan yang semakin menjadi ‘pembunuh senyap’ dalam kalangan masyarakat di dunia.

“Saya ambil masa setahun untuk mencari diri saya yang hilang.

“Selama ini, saya sibuk terbitkan lagu untuk orang lain sampaikan saya sendiri tidak tahu arah tuju saya sebagai penyanyi.

“Lagu ini dibikin ketika saya sedang bersendirian menginap di sebuah hotel. Ada bahagian yang datang daripada pengalaman sendiri.

“Dalam video muzik lagu ini, ada gempulan asap dan makhluk yang ditafsirkan sebagai bendasing.

“Perkara itu antara yang mengganggu hidup kita sebagai manusia.

“Ada orang kalau dia berdepan dengan masalah, mereka libatkan diri dengan najis dadah dah minuman keras.

“Itu perlambangan yang saya cuba sampai melalui karya kali ini,” kata Alyph yang tidak menafikan turut terkesan dengan ‘kejutan’ yang dipamerkan tahun 2020.

Ditanya tentang keputusan mendendangkan lagu Adakah Kau Mendengar? secara solo, bukan berkolaborasi dengan mana-mana artis seperti selalunya, ini jawab Alyph:

“Saya buat muzik tanpa teori tertentu. Saya akan kongsi sahaja apa yang saya rasa sesuai untuk dikongsikan.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya banyak fokus tolong artis lain untuk berada dalam arus perdana sebelum ini.

“Jadi, sudah tiba masanya saya buat sesuatu untuk diri sendiri,” katanya menutup perbualan.

Adakah Kau Mendengar? boleh didapati di semua platform muzik utama sejak 4 Oktober 2020, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran Vevo Alyph pada pukul 9 malam di hari yang sama.

MENYANYI solo tanpa kolaborasi seperti selalunya, Alyph mengakui selesa namun tidak menolak untuk kembali berkolaboratif dengan mana-mana artis pada masa akan datang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI