MANAMA, Bahrain – Pelumba Racing Point, Sergio Perez berharap kejayaan menjuarai Grand Prix (GP) Sakhir kelmarin dapat menarik perhatian pasukan-pasukan Formula Satu (F1) untuk mendapatkan khidmatnya pada saingan musim depan.
Sebagai rekod, kontrak pelumba kelahiran Mexico itu bersama Racing Point yang berakhir pada bulan ini tidak disambung selepas pasukan itu berjaya mendapatkan khidmat juara dunia empat kali, Sebastian Vettel.
Susulan itu, beberapa pasukan telah berusaha untuk merisik khidmat Perez termasuk Red Bull yang mahu menggandingkannya dengan pelumba muda, Max Verstappen tetapi segalanya masih belum muktamad.
Perez yang mengakui terkejut apabila dapat menjuarai perlumbaan GP buat pertama kali dalam karier percaya masa depannya dalam arena permotoran No. 1 dunia itu masih belum terkubur.
“Saya akui sangat terkejut apabila dapat bergelar juara pada GP Sakhir kali ini. Secara jujur, ia bukanlah perlumbaan yang mudah kerana saingan sangat sengit tetapi dalam masa yang sama kemenangan ini memberi ketenangan buat saya.
“Memang sudah menjadi impian setiap pelumba F1 yang mana anda perlu meraih kemenangan GP sekurang-kurangnya satu kali dalam karier dan saya berjaya realisasikan. Kini, fokus saya adalah untuk mengikat perjanjian dengan pasukan yang berminat untuk saingan musim depan.
“Bagaimanapun, jika ia tidak berlaku, saya tidak anggap situasi tersebut sebagai malapetaka sebaliknya memberi motivasi dan mungkin kembali ke litar pada tahun 2022,” katanya.
Pada perlumbaan kelmarin, Perez berjaya menafikan cabaran pelumba Renault, Esteban Ocon di tempat kedua, manakala rakan sepasukannya, Lance Stroll melengkapkan kedudukan podium. – AGENSI