JOHOR BAHRU – Misteri ketukan pintu turut merebak ke negeri ini apabila beberapa rumah penduduk di Kampung Melayu Majidee di sini menjadi sasaran beberapa hari lalu.
Seorang suri rumah, Surianida Darsuni, 40, berkata, pintu rumahnya diketuk pada antara pukul 1 hingga 3.30 pagi pada Khamis lalu.
Menurut Surianida, pada mulanya dia ingatkan pintu diketuk anak lelaki yang baru pulang selepas keluar bersama rakan-rakannya.
“Saya biasa tidur lewat, malam kejadian (Khamis) saya nak masuk bilik untuk tidur dalam pukul 1 pagi, bunyi ada macam orang ketuk pintu, saya ingatkan anak saya baru balik.
“Saya biarkan, pukul 1.30 pagi saya dengar lagi sekali orang ketuk, saya bingkas bangun jenguk tak ada pula kelibat orang, anak ke siapa, saya biarkan.
“Kali ketiga bunyi pula dalam 15 minit, saya dan suami bingkas bangun, dia (suami) tengok di depan tetapi bunyi ketukan didengar di belakang pula,” katanya ketika ditemui di Jalan Berkat, Kampung Melayu Majidee di sini semalam.
Surianida berkata, berang dengan gangguan itu dia memberanikan diri untuk bersuara melawan usikan misteri berkenaan.
“Saya sudah tak tahan, saya cakap jangan kacau aku, kau sudah salah orang nak kacau, pergi kacau rumah orang lain, lepas itu dalam pukul 3.30 pagi terus senyap tak ada gangguan dah.
“Hairanlah juga, kalau sebab angin, pintu berbunyi seolah-olah diketuk, malam itu tidak pula hujan ke atau angin kencang,” ceritanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, kejadian aneh itu dialaminya sebanyak lima kali dan merupakan peristiwa pertama dialaminya sejak menghuni rumah di kampung berkenaan sejak 17 tahun lalu.
Jelasnya, dia juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu mungkin ada gangguan santau atau sebagainya.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Majidi Baru, Salmah Utoh, 40, berkata, dia mengalami gangguan makhluk halus seolah-olah terdengar orang mengilai.
“Isnin minggu lalu, saya tidur di dalam bilik sendirian, saya dengar seolah-olah ada orang mengilai.
“Kejadian itu dalam pukul 12.30 tengah malam, bila saya tengok Facebook hari ini kecoh, jadi saya kongsikan dekat komen-komen itu apa yang saya alami,” katanya.-K! ONLINE