KUALA LUMPUR – Seorang Pembantu Perikanan Pengurusan Sumber, Jabatan Negeri Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal memberikan penjelasan berhubung pemilikan wang lebihan berjumlah lebih RM300,000.
Tertuduh Mohd. Zainal Murad @ Jusoh, 50, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Zainal didakwa sebagai seorang pegawai Pembantu Perikanan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Perlis didapati tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan berkaitan dengan pemilikan harta berlebih-lebihan sebanyak RM368,162.98 setelah diambil kira emolumennya sekarang dan lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Presint 7, Putrajaya pada 30 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 36(3) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kolestrol selain menjalani rawatan susulan di Hospital Kangar, Perlis.
“Saya juga digantung kerja sejak Februari 2020 dan perlu menanggung tiga anak serta isteri yang tidak bekerja. Sebelum ini saya sudah mengaku bersalah di Mahkamah Kangar dan didenda atas kesalahan SPRM,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang ke luar negara sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari 2021 untuk sebutan semula dan lantikan peguam. – K! ONLINE