MELAKA – Seorang peguam menjadi buruan polis selepas dia didakwa telah menyalahgunakan wang klien melebihi setengah juta ringgit sebelum bertindak menutup syarikatnya dan menghilangkan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa-mangsa mendakwa telah ditipu suspek berkaitan dengan urusan jual beli hartanah bernilai keseluruhan RM500, 650.
Katanya, berdasarkan laporan awal dibuat oleh lima mangsa, suspek telah menyalahgunakan wang penjualan sebanyak RM350, 000 dan wang pembelian rumah RM147, 000.
“Polis kini memburu seorang peguam berusia 39 tahun selepas menerima laporan daripada lima mangsa mendakwa wang mereka telah disalahgunakan oleh suspek.
“Jumlah keseluruhan kerugian adalah RM500, 650 membabitkan wang urusan penjualan dan pembelian rumah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, mangsa-mangsa juga melaporkan syarikat peguam berkenaan juga telah ditutup dan suspek menghilangkan diri.
“Kesemua mangsa yang mengalami nasib sama kemudian telah datang membuat laporan polis dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah pecah amanah.
“Polis meminta bantuan orang ramai yang mengenali atau mengetahui maklumat berkenaan peguam berkenaan untuk menghubungi pegawai penyiasat JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi Inspektor Mohd. Yassar Ishak di 017-6806 680, Inspektor Izrayasrina Muhamad Saad 012 – 6773402 dan Inspektor Koet Pei Ing 016-4121209. – K! ONLINE