fbpx

Padah degil guna logo halal tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai KPDNHEP Selangor sedang menerangkan sesuatu kepada wakil syarikat yang menggunakan logo halal telah dibatalkan di Bandar Pinggiran Subang, semalam.

SHAH ALAM – Kedegilan sebuah syarikat memproses air minuman kordial terus menggunakan logo halal yang telah dibatalkan mengundang padah selepas diserbu di kawasan perindustrian Bandar Pinggiran Subang di sini semalam.

Serbuan pukul 11.45 pagi itu merampas 830 botol minuman kordial, 4,100 kotak pembungkus dan hampir 700 gulung pelekat label produk menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu bernilai RM45,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan hasil pemantauan selama sebulan terhadap premis tersebut yang masih menggunakan logo halal Jakim walaupun telah dibatalkan sebelum ini.

Katanya, pembatalan itu susulan operasi syarikat berkenaan gagal mematuhi standard pemegang sijil halal seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Ketika serbuan, pihak kita telah menemui wakil syarikat yang memaklumkan telah membuat permohonan rayuan penarikan sijil halal syarikat itu.

“Namun, siasatan mendapati rayuan itu ditolak JAIS berikutan terdapat teguran-teguran yang dibuat gagal diambil tindakan sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihaknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kes akan disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

“Jika disabitkan kesalahan boleh denda tidak lebih RM5 juta bagi kesalahan pertama dan seterusnya RM10juta bagi syarikat atau perbadanan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan tindakan juga dilakukan mengikut Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI