SEBERANG PERAI – Bapa kepada pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, meminta semua pihak khususnya media memberi ruang dan masa kepada anaknya itu berdepan dugaan berat yang sedang dihadapinya.
Menurut Ahmad Ibrahim, 56, Muhammad Syafiq belum bersedia berkongsi tragedi hitam yang menimpanya dan keluarga yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh raya-Utara Selatan di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini awal pagi kelmarin.
“Ramai yang menghubungi saya termasuk media untuk bercakap dengan Muhammad Syafiq, tetapi saya minta maaf kerana saya tidak boleh benarkan kerana masanya belum sesuai.
“Keutamaan Muhammad Syafiq ketika ini adalah memberi sepenuh tumpuan kepada isterinya supaya segera sembuh dan mengembalikan semula semangatnya yang terkesan ekoran kejadian tersebut.
“Jadi, saya memohon kepada semua sama-samalah kita berdoa supaya Muhammad Syafiq terus kuat dan tabah dengan ujian ini ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ahmad, anak sulungnya daripada empat beradik itu kelihatan semakin tenang dan positif ketika ini selain menerima takdir itu dengan reda.
“Dari luarannya, Muhammad Syafiq memang nampak semakin tenang, tetapi naluri saya sebagai seorang bapa dapat merasakan yang dia sedang berusaha mengawal perasaan dan tidak mahu menunjukkan kesedihan.
“Apatah lagi, dia perlu menguatkan hati untuk memberi semangat kepada isterinya yang pastinya lebih terkesan dengan kejadian itu kerana kehilangan anak yang baru dilahirkan dan ibunya,” katanya lagi.
Menurut Ahmad, anak sulungnya itu hanya mahu memberi tumpuan kepada isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, yang masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini serta anak perempuannya Aaira Nur Saffiya, 2, yang telah dibenarkan keluar dari hospital semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi kelmarin, tiga terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyoya Vellfire dipandu Muhammad Syafiq terbabas di kilometer 163.6 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini.
Antara yang maut, bayi Muhammad Syafiq yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Muhammad Syafiq Aaira Nur Saffiyya hanya cedera ringan, manakala Nur Amalina dilaporkan parah. – K! ONLINE