SHAH ALAM – Pengurusan Masjid Al-Istiqamah, Kayangan Height di sini, menggunakan kaedah penyerahan sumbangan secara pandu lalu kepada 20 sekolah di masjid itu, hari ini.
Bantuan wang berjumlah RM66,000 menerusi program ‘Jom ke Sekolah 2021’ itu melibatkan pengagihan kepada 330 pelajar sekolah kurang berkemampuan di sekitar daerah Petaling.
Penasihat masjid itu, Datuk Seri Zukri Samat berkata, inisiatif itu julung kali dilakukan pihaknya dalam membantu meringankan beban untuk membeli persiapan menjelang sesi persekolahan tahun depan.
“Program khas hasil kutipan sumbangan ahli kariah masjid itu diadakan di setiap sekolah terpilih sebelum ini.
“Namun, situasi Covid-19 menyebabkan kita terpaksa memanggil wakil semua sekolah untuk menerima sumbangan secara pandu lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, program kali kelima itu disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang yang juga kariah masjid tersebut, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambah Zukri, semua penerima sumbangan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah itu yang rata-ratanya tergolong kategori asnaf dikenalpasti menerusi bantuan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Salbiah Mustafa menzahirkan penghargaan atas bantuan tersebut.
“Sumbangan wang tunai RM200 seorang itu akan diserahkan kepada 20 pelajar kurang berkemampuan yang sudah dikenalpasti.
“Penganjuran program seumpama itu amat digalakkan bagi membantu pelajar dan keluarga mereka mendepani cabaran ketika musim pandemik,” katanya. -K!ONLINE