WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengekalkan polisi membabitkan sekolah-sekolah awam di negeri Oregon yang membenarkan pelajar transgender menggunakan bilik air dan bilik persalinan yang bersesuaian dengan identiti jantina mereka.
Mahkamah tertinggi AS itu tidak menjelaskan mengapa ia menolak untuk mendengar hujah ibu bapa yang menentang dasar tersebut atas hujah agama atau hak privasi.
Keputusan itu menandakan episod terbaru dalam saga “perang tandas” yang berlarutan selama beberapa tahun di AS.
Pentadbiran Presiden daripada Parti Demokrat, Barack Obama mengeluarkan garis panduan bersejarah pada 2016 yang mewajibkan sekolah-sekolah awam membiarkan pelajar menggunakan bilik mandi dan bilik persalinan bersesuaian dengan jantina yang mereka inginkan dan bukan gender yang tertera dalam surat beranak mereka.
Pentadbiran Presiden Donald Trump kemudian membatalkan peraturan tersebut pada Februari 2018. Beliau sebaliknya menyerahkan keputusan berhubung isu tersebut kepada bidang kuasa pentadbiran negeri.
Beberapa negeri konservatif di AS meluluskan rang undang-undang yang memaksa pelajar menggunakan bilik mandi menurut jantina kelahiran mereka. Namun, sebilangan negeri lain masih mengguna pakai polisi Obama.
Keputusan terbaharu oleh Mahkamah Agung AS untuk tidak campur tangan itu disambut baik oleh penyokong golongan minoriti seksual termasuk Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) .
“Mahkamah Agung sekali lagi mengatakan bahawa remaja transgender bukanlah ancaman kepada pelajar lain,” kata timbalan pengarah ACLU, Chase Strangio.