PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk terus memajukan TH Plantations Berhad (THP) sekali gus menarik balik kelulusan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco Plantations Sdn. Bhd. (Tamaco) yang dibuat sebelum ini.
Keputusan itu dibuat menerusi kenyataan akhbar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor, maka pada 4 Disember lalu, kerajaan memutuskan bahawa keputusan itu (perolehan kepada Tamaco) ditarik balik untuk diteliti dengan lebih lanjut.
“Kami (kerajaan) bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa.
“Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah S.W.T memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH,” katanya.
Sebelum ini, permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd dan Maju Warisanmas Sdn. Bhd daripada THP adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang berkuatkuasa sejak 1 Mac 2014.
Malah, katanya lagi, garis panduan ini telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera oleh bukan Bumiputera adalah tertakluk kepada
pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera.
“Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November lalu telah dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.
“Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang telah diberikan oleh pihak THP demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat,” katanya.
Baru-baru ini, Pemuda UMNO menerusi ketua pemudanya, Datuk Dr Asyraf Sajdi Dusuki memohon kerajaan supaya campur tangan untuk segera menghentikan penjualan lambak aset ladang THP.
Gesaan oleh Pemuda UMNO itu selepas THP dilihat masih berkeras meneruskan agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjual 76.2 peratus daripada aset ladang yang berkeluasan 101,019 hektar.
Pemuda UMNO menentang keputusan penjualan itu memandangkan potensi yang dimiliki oleh aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP yang didapati bernilai tinggi dan berpotensi untuk dimajukan.-K!ONLINE