KOTA BHARU – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dipercayai meminjamkan senapang patah kepada rakannya ditahan dalam serbuan berasingan di dua buah rumah di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama di Jeli Ahad lalu.
Dalam serbuan pertama, polis menyerbu sebuah rumah tempat tinggal seorang buruh berusia 45 tahun pada pukul 8 malam di kampung tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, polis menemui selaras senapang patah bersama 68 butir peluru hidup dan 46 kelongsong peluru.
Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk sebilah senjata tajam, beg, peti pertolongan cemas dan beg pinggang yang disimpan di dalam sebuah bilik rumah lelaki itu.
“Sewaktu melakukan siasatan, lelaki itu mengaku bahawa senapang, peluru dan kelongsong itu milik rakannya yang merupakan anggota Rela.
“Selepas menerima maklumat itu, polis bertindak menyerbu rumah anggota Rela yang berusia 41 tahun itu yang juga berada di dalam kampung itu kira-kira dua jam kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Menurut Shafien, siasatan awal mendapati, rakannya telah meminjam senapang patah itu daripada anggota Rela sejak lapan bulan lalu untuk memburu haiwan.
Katanya, berdasarkan semakan, anggota Rela itu mempunyai surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata.
“Peluru yang dirampas itu digunakan untuk tugas rasmi sebagai anggota Rela dan mencegah tanaman kebun milik sendiri daripada diganggu haiwan liar sahaja.
“Anggota Rela itu juga mempunyai kebenaran untuk membawa dan menggunakan senapang itu sehingga Jun 2021,” katanya.
Tambahnya, dua lelaki terbabit ditahan reman selama seminggu bermula Ahad lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan. – K! ONLINE