LONDON – Seorang warga emas berusia 90 tahun menjadi pesakit pertama di dunia menerima suntikan vaksin koronavirus, hari ini.
Margaret Keenan menerima suntikan itu hari ini pada pukul 6.31 pagi (waktu tempatan) di Coventry, menandakan permulaan program vaksin besar-besaran Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS).
Vaksin Pfizer/BioNTech yang diluluskan kerajaan Britain minggu lalu akan diedarkan ke hospital seluruh negara bermula hari ini.
Keenan yang dikenali sebagai Maggie menerima suntikan itu di sebuah hospital tempatan.
“Saya sangat berbangga menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin menentang wabak Covid-19.
“Ini adalah hadiah awal hari lahir terbaik yang boleh saya harapkan. Akhirnya saya boleh menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan menyambut tahun baharu selepas menghabiskan hampir seluruh tahun ini bersendirian,” katanya.
Bekas pembantu kedai barang kemas itu bakal menyambut hari lahir ke-91 minggu hadapan. – Agensi