fbpx

Guru lulusan Ph.D gigih usahakan bisnes kek cawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Diari Usahawan

SEBERANG PERAI – Jika dinilai pada statusnya sebagai seorang guru yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) pada usia semuda 36 tahun, sepatutnya, Dr. Siti Hawa Abdullah sudah berada pada zon selesa dalam kehidupannya ketika ini.

Ibu kepada dua cahaya mata ini bagaimanapun memilih untuk berdepan cabaran baharu apabila sanggup keluar daripada kepompong selesa demi mengejar satu lagi impiannya yang belum tercapai iaitu untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

Demi mencapai impiannya itu, Siti Hawa yang juga anak kedua daripada lima beradik itu sedia mengharungi jadual kerja yang padat demi memenuhi impiannya tersebut.

Memilih bidang makanan dan minuman, Siti Hawa menawarkan produk utamanya, kek cawan di bawah jenama Kek Cup Comei Dr. Saab yang mana resipinya diwarisi daripada keluarganya sejak 25 tahun lalu.

“Alhamdulillah, apa yang saya impikan sebelum ini (memiliki Ph.D dalam Bahasa Arab) telah tercapai.

“Kini saya berazam untuk menyambung semula impian ibu dalam memajukan perniagaan yang dipeloporinya sejak kami masih kecil,” katanya kepada K­osmo! ketika ditemui di kediamannya di Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Lebih menarik, adik-beradik­nya iaitu kakak sulungnya yang juga berkelulusan Ph.D iaitu Dr. Siti Mariam Abdullah, 38, turut sama membantu dalam perniagaan itu khususnya daripada aspek kerja-kerja berkaitan promosi dan pemasaran.

Adik bongsu mereka, Siti Khadijah Abdullah, 29, yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang seni kulinari dan perhotelan sekali gus dilihat bakal memberi nilai tambah kepada perniagaan kek cawan berkenaan pada masa depan.

Buat masa sekarang, tempahan yang diterima bagi kek cawan yang menggabungkan nama ibu dan bapanya iaitu Salmah dan Abdullah begitu menggalakkan sehingga kakitangan yang membantu tidak cukup tangan untuk memenuhinya setiap hari.

“Secara purata, kami mampu menghasilkan sehingga 100 set kek sehari dengan setiap set mengandungi 33 biji kek cawan yang diadun dengan resipi turun-temurun dan dijual pada harga sekitar RM12 sebekas.

“Sasaran kami adalah untuk menggandakan kadar pengeluaran tersebut.

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan untuk menjual kira-kira 200 set kek sehari serta menambah bilangan ejen untuk memasarkannya pada masa depan,” katanya.

Tambah beliau, cadangan lain adalah untuk menambah varian kek cawan sedia ada yang dijual hanya dalam satu perisa sahaja iaitu oren asli.

Siti Hawa memberitahu, selain berniaga untuk meneruskan legasi perniagaan yang dimulakan oleh ibu dan adik-beradik, beliau juga berniat menjadikan perniagaan ini sebagai platform untuk membantu orang lain dalam menjana pendapatan.

“Kami mahu menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi bagi lebih ramai usahawan di luar sana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI