fbpx

Tujuh tahun tidur atas kerusi roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHIRI terpaksa menghabiskan masanya di atas kerusi roda dan hanya bergantung kepada bantuan Rodzi untuk bergerak.

SEREMBAN – Seorang warga emas terpaksa menghabiskan sisa usianya dengan hanya tidur di atas kerusi roda uzur sejak tujuh tahun lalu selepas tidak mampu bergerak dan bangun akibat pe­nyakit angin ahmar.

Lebih menyedihkan, Khiri Othman, 65, mengakui dia terlalu rindu untuk tidur di atas katil, namun impian itu terpaksa dilupakan ekoran keadaan isteri­nya, Rodzi Kassim, 51, yang tidak mempunyai kudrat untuk mengangkatnya.

“Sudah tujuh tahun saya tidur atas kerusi roda ini, rindu rasa­nya nak tidur atas katil.

“Kerusi roda ini sudah sebati dengan diri saya, di sini tempat makan minum dan terlelap (tidur) setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Besar di sini kelmarin.

Tinjauan Kosmo! mendapati kedua-dua belah kaki Khiri sudah membengkak dan kemerahan dipercayai akibat terlalu lama duduk di atas kerusi roda.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, Khiri berkata, dia bersyukur kerana isterinya yang dikahwini sejak tahun 1999 setia menjaganya walaupun mereka hanya tinggal berdua.

“Kami tidak dikurniakan anak, tetapi isteri mempunyai anak lelaki berusia 30 tahun hasil perkahwinan dahulu,” katanya.

Khiri yang sebelum ini berniaga pisang goreng berkata, dia diserang penyakit angin ahmar pada tahun 2013 dan keadaannya semakin teruk selepas terjatuh sehingga mengakibatkan kaki kirinya patah tiga tahun lalu.

Sementara itu, Rodzi berkata, kehidupannya sebelum ini pernah diduga sehingga mereka terputus bekalan makanan dan terpaksa memohon bantuan jiran.

“Kami menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal tetapi hanya cukup untuk membayar sewa rumah dan bil api dan air.

Prihatin keadaan Khiri itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Dan Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), Norfadilah Mansor telah mengunjungi dan menyumbang sebuah kerusi roda baharu bagi kegunaan warga emas itu.

Mereka yang ingin menyumbang menyalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0510241000077777 (Rodzi Kassim) atau menghubungi Norfadilah di talian 012-9805132.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI