SEBERANG PERAI – “Dia tidak mengantuk, sebaliknya cuba mengelak sesuatu di tengah jalan, tetapi saya tidak pasti apakah objek itu.”
Itu kata Ahmad Ibrahim, 56, bapa kepada pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad yang terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang dipandunya terbabas di Kilometer 163.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini awal pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 pagi itu, tiga dilaporkan terbunuh iaitu bayi lelaki Muhammad Syafiq yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, ibu mertuanya, Zainan Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Muhammad Syafiq, 25, yang juga penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) dan anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya berusia 2 tahun hanya cedera ringan.
Isterinya yang sedang berpantang, Nur Amalina Norain, 25, pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya di sini.
Ahmad memberitahu, Muhammad Syafiq yang juga anak sulungnya memaklumkan bahawa dia cuba mengelak daripada melanggar sesuatu yang tidak dikenal pasti berada di atas jalan.
“Saya tidak tahu mengenai kepulangan Syafiq ke rumah mertuanya sehingga menerima panggilan telefon berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 4.10 pagi.
“Ketika menerima panggilan, saya keliru kerana ketiga-tiga anak (yang tinggal bersamanya di Bayan Lepas dekat sini) ada di rumah ketika itu.
“Saya sangat terkejut apabila diberitahu Syafiq yang sebenarnya ditimpa kemalangan kerana saya tidak tahu dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Pendang, Kedah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini semalam.
Ketika kejadian Muhammad Syafiq bersama keluarganya dalam perjalanan dari Johor untuk pulang ke kampung Nur Amalina di Pendang.
Menurut Ahmad, kebiasaan Muhammad Syafiq akan pulang kampung menaiki pesawat, namun kali ini mungkin anaknya memandu sendiri kereta kerana isterinya sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua.
Katanya, dia sedih kerana tidak sempat bertemu cucu lelaki yang baru dilahirkan itu.-K! ONLINE
Artikel berkaitan : Bapa Muhammad Syafiq belum tengok cucu
Artikel berkaitan : JDT ucap takziah kepada Syafiq