LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji semangat dan mentaliti yang dipamerkan oleh para pemainnya ketika mereka meraih kemenangan 3-1 menewaskan West Ham United awal pagi semalam.
Jaringan Paul Pogba, Mason Greenwood dan Marcus Rashford menyaksikan United berjaya membawa pulang tiga mata penuh biarpun mereka cemas pada separuh masa pertama ekoran ketinggalan menerusi gol jaringan Tomas Soucek.
Aksi tersebut merupakan kemenangan kelima berturut-turut di tempat lawan dan United berjaya mempamerkan kebangkitan biarpun terlebih dahulu ketinggalan untuk meraih kemenangan.
“Kami sudah melakukan aksi sebegini banyak kali, bangkit daripada ketinggalan dan ia bukan kebetulan.
“Untuk memiliki karakter dan mentaliti sebegini adalah sesuatu yang istimewa terutama ketika ia melibatkan aksi di tempat lawan. Para pemain sentiasa percayakan diri, kami mempercayai kemampuan sendiri.
“Tidak ada lagi jeritan di dalam padang kerana para pemain mempercayai kemampuan rakan-rakan mereka,” katanya.
Biarpun aksi separuh masa kedua dianggap sangat luar biasa dipamerkan United, skuad bimbingan Solskjaer itu dilihat bergelut dengan prestasi pada separuh masa pertama.
Solskjaer yang membuat keputusan memasukkan Bruno Fernandes dan Rashford pada separuh masa kedua mengubah situasi berkenaan.
Dalam pada itu, Solskjaer mengesahkan bahawa dua pemainnya, Edinson Cavani dan Anthony Martial berdepan masalah kecederaan otot sehingga terpaksa dikeluarkan.
“Edi dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan saya harap ia tidak serius. Anthony mungkin mengalami masalah pangkal paha dan kita akan membuat pemeriksaan lanjut,” jelasnya. – AGENSI