fbpx

Redah ladang sawit dapatkan capaian internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AIN (kanan) bersama adiknya terpaksa berpayung di atas bukit di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Pertang, Kuala Krai untuk mengikuti kelas online.

KUALA KRAI – Dua beradik dari Kampung Ulu Manah di sini, sanggup menunggang motosikal selama 15 minit menyelusuri ladang kelapa sawit sebelum mendaki bukit di Kuala Pertang semata-mata untuk mendapatkan capaian internet.

Nur Ain Natasha Ramzan, 19 dan adiknya Nur Fatin Nadiha, 18, yang merupakan pelajar pra­universiti di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Kuala Krai terpaksa mengambil inisiatif itu bagi memastikan mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti kelas secara dalam talian susulan penularan pandemik Covid-19.

Nur Ain Natasha berkata, dia dan adiknya tiada pilihan lain untuk mendapatkan capaian internet selain daripada naik ke kawasan bukit itu.

“Capaian internet di rumah kami amat teruk menyebabkan kami sukar untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Meskipun terpaksa mendaki bukit dan kadang kala perlu berpayung menahan bahang matahari, kami tetap tabah mengikuti sesi pembelajaran dalam talian sehingga tamat,” kata ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kisah dua beradik itu tular di media sosial minggu lalu apabila keperitan dan kepayahan untuk mendapat capaian internet dengan mendaki bukit selain melalui jalan ladang menimbulkan rasa kagum dalam kalangan netizen.

Menurut Nur Ain Natasha, dia tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran memandangkan akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak lama lagi.

Ujarnya, dia juga nekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu nanti.

“Kami memang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke menara gading dengan impian membela nasib keluarga pada masa hadapan.

“Begitu juga dengan adik. Semangatnya tetap sama walaupun dia masih berada di tingkatan enam bawah. Kami berkongsi matlamat yang sama iaitu mahu berjaya,” ujarnya.

Katanya, mereka berdua akan menuju ke bukit berkenaan pada pukul 9 pagi sebelum kelas online bermula.

“Kami berdua amat berharap capaian internet di kawasan rumah dapat dipertingkatkan bagi memastikan seluruh penduduk mendapat manfaat,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI