KLANG – Misteri ketukan yang sebelum ini menghantui penduduk di Sabak Bernam dekat sini dan Alor Gajah, Melaka didakwa mula menganggu kawasan Pandamaran Jaya di sini.
Ini berikutan penularan video berdurasi satu minit 15 saat di laman sosial Facebook sejak semalam.
Berdasarkan video tersebut memaparkan sebuah rumah didakwa diganggu apabila tiada sebarang kelibat kelihatan daripada pintu geriji kaca yang telah diketuk itu.
Malah, turut kelihatan seorang isi rumah berdiri di pintu geriji memerhatikan insiden gangguan tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi menegaskan tiada laporan polis diterima setakat ini.
“Tiada laporan,” ringkas katanya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! terhadap video mendapati sebanyak 513 pengunjung laman tersebut telah menontonnya dengan lima pengkongsian pautan.
Seorang pengguna Facebook, Norlaila Lela memberitahu insiden itu khuatir apabila gangguan tersebut berlaku di Pandamaran.
“Sudah sampai Pandaraman, berjaga-jagalah pagi ini,” jelasnya.
Bagi seorang pengguna lain, Muhammad Anuar Ibrahim mendakwa ada individu menghantar mahkluk halus untuk menakutkan penduduk.
“Sebenarnya orang itu hantar Jin khodam
untuk kuatkan tenaga ghaib dia.
“Jika pukau, kita akan dengar seperti tabur pasir di atas rumah. Itulah pentingnya pagar rumah dan buat amalan solat malam.
“Biasanya rumah yang diganggu mereka berjiwa kosong, faham,” katanya. -K!ONLINE