fbpx

MyPay sasar sejuta pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

TREND pasaran semasa menyaksikan semakin banyak perniagaan tradisional beralih arah kepada dunia digital bagi meraih peluang daripada ekonomi digital yang kini mewakili hampir 20 peratus daripada saiz ekonomi negara.
Antara syarikat yang terlibat ialah Pertama Digital Bhd. (Pertama Digital) yang dahulunya dikenali sebagai Sinotop Holdings Bhd. .
Dahulunya,ia adalah sebuah syarikat tekstil dan kini mengubah teras perniagaannya kepada teknologi digital sejak September lalu.
Di bawah hala tuju baharu itu, Pertama Digital berhasrat memacu inisiatif teknologi kewangan yang inklusif di seluruh negara.
Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Pertama Digital yang baharu dilantik, Aiza Azreen Ahmad untuk bercerita tentang perancangan syarikat tahun ini dan untuk rancangan masa depannya.

Kosmo!: Boleh ceritakan mengenai penawaran digital syarikat buat masa ini?
Aiza: Menerusi anak syarikat kami, Dapat Vista Sdn. Bhd. (Dapat Vista), kami memiliki aplikasi MyPay yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk rakyat menerusi kerjasama dengan 30 agensi kerajaan setakat ini.
Antaranya melibatkan urusan pembayaran wang jaminan mahkamah, e-jamin dan pem­biayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ­(PTPTN).
Kelebihan kami ialah penye­diaan perkhidmatan komprehensif menerusi kolaborasi rapat dengan agensi terlibat.
Sebagai contoh dalam pembayaran pinjaman PTPTN, pengguna akan turut beroleh akses kepada jumlah baki yang perlu diselesaikan.
Selain itu, perkhidmatan ­e-jamin merekodkan pertumbuhan pembayaran 15 peratus minggu ke minggu sejak diper­kenalkan lapan bulan lalu. Menerusinya, orang ramai boleh membayar wang jaminan secara elektronik dan kemudahan ini disediakan di semua 118 mahkamah di seluruh negara.

Apa langkah untuk me­ngukuhkan kedudukan syarikat dalam ekosistem digital?
Pertama, kami akan melancarkan aplikasi MyPay secara rasmi pada suku tahun pertama 2021 kerana buat masa ini, ia masih berada pada peringkat awal.
Kami berhasrat untuk membangunkan MyPay menjadi sebuah aplikasi super, melibatkan kerjasama dengan lebih banyak agensi kerajaan dan kementerian bagi menawarkan kemudahan perkhidmatan di hujung jari untuk rakyat.
Dapat Vista memiliki pe­ngalaman 20 tahun menjalankan perkhidmatan buat kerajaan menerusi operasi sistem notifikasi SMS15888 yang digunakan lebih 300 agensi kerajaan, jadi kami berharap mereka akan turut berkolaborasi dengan aplikasi MyPay.

Apa antara agensi yang di­sasarkan untuk bekerjasama dengan MyPay?
Buat permulaan, kami me­nyasarkan agensi dan kementerian yang paling banyak berurusan dengan rakyat, seperti pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Selepas itu, mungkin sekitar separuh tahun kedua 2021 kami akan mula menyasarkan penglibatan sektor swasta dan peniaga yang berminat.

Apa sasaran penggunaan MyPay tahun hadapan?
Setiap seorang daripada 30 juta rakyat Malaysia mempunyai keperluan untuk berinteraksi dengan kerajaan. Urusan pembaharuan lesen misalnya perlu di­selesaikan dalam tempoh 10 minit menerusi penggunaan teknologi digital berbanding apa yang perlu dilalui ketika ini.
Sasaran awal kami adalah menarik sejuta rakyat untuk menjadi pengguna MyPay untuk tahun pertama dan asas pelanggan ini diharapkan mampu menarik perhatian lebih banyak agensi kerajaan untuk bekerjasama dengan kami.
Agensi kerjasama tidak dikenakan sebarang kos, bagaimanapun orang ramai perlu membayar fi pada kadar minimum, sekitar 50 sen untuk melakukan transaksi dan ia jauh lebih rendah berbanding kos untuk menghadirkan diri ke pejabat kerajaan secara fizikal.
Kami ingin mencari jalan untuk mempermudahkan transaksi antara kerajaan dengan semua rakyat Malaysia.

Apa perancangan syarikat untuk tempoh jangka masa panjang?
Kami menyimpan hasrat untuk memperluaskan perkhidmatan ke rantau Asia Tenggara, mungkin sekitar tiga hingga lima tahun lagi.
Tempoh ini agak panjang sebenarnya dalam industri digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI