LONDON – Pengurus West Ham United, David Moyes menyelar tindakan pengadil yang mengesahkan jaringan pertama Manchester United yang dihasilkan oleh Paul Pogba pada aksi awal pagi semalam.
West Ham terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Tomas Soucek sebelum Pogba meledak gol menarik selepas menerima umpanan Bruno Fernandes sekali gus menjadi pemangkin kebangkitan United.
Bagaimanapun, gol tersebut mencetuskan kontroversi dan terpaksa dirujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila bola hasil tendangan penjaga gol, Dean Henderson dikatakan terlebih dahulu keluar padang sebelum disambut oleh Fernandes.
Pengadil yang merujuk kepada VAR kemudian akhirnya membuat keputusan mengesahkan jaringan tersebut tetapi ia menimbulkan rasa tidak puas hati Moyes.
“Saya fikir kami bermain dengan baik. Apa yang membuatkan kami sedikit terkilan adalah mengenai keputusan yang dibuat pengadil (gol pertama).
“Bola itu melepasi kepala saya yang berada di luar garisan padang. Tidak ada orang yang berada pada kedudukan yang tepat berbanding saya untuk melihat situasi bola itu.
“Penjaga garisan mendakwa dia tidak melihatnya. Itu adalah keputusan yang teruk. Bola itu sudah keluar dan pemain kami juga tahu mengenainya.
“Cuma apa yang menggembirakan saya adalah perlawanan ini kembali disaksikan oleh peminat, kami memberikan mereka aksi terbaik sepanjang 60 minit cuma gagal menghasilkan keputusan yang diinginkan.
“Gol itu benar-benar menjejaskan kami, ia menyebabkan kami berasa sangat kecewa. Kami sangat terkejut dengan keputusan dibuat oleh penjaga garisan,” katanya. – AGENSI