CADIZ, Sepanyol – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menganggap kekalahan 1-2 kepada Cadiz di Estadio Ramon de Carranza awal pagi semalam menyukarkan peluang mereka untuk menjuarai gelaran La Liga musim ini.
Kekalahan itu menyaksikan The Catalan kini menduduki tangga ketujuh La Liga dengan 14 mata dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Atletico Madrid yang berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Real Valladolid awal pagi semalam.
Lebih malang, dua gol daripada Alvaro Gimenez dan Alvaro Negredo menyaksikan Barcelona sudah kalah empat perlawanan musim ini sekali gus merekodkan permulaan terburuk dalam sejarah La Liga sejak 1987/1988.
“Ia adalah satu langkah ke belakang untuk kami cuba memenangi kejuaraan La Liga musim ini. Saya perlu menerima hakikat ini, lebih-lebih lagi apabila kami kini ketinggalan jauh di belakang dengan 12 mata.
“Ini bukanlah persembahan yang saya mahu lihat daripada para pemain. Saya amat kecewa kerana kami sepatutnya menang berdasarkan penguasaan besar sepanjang perlawanan ini,” kata Koeman.
Barcelona harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal membawa pulang tiga mata selepas menguasai 83 peratus penguasaan permainan selain melakukan 21 percubaan ke arah gawang gol Cadiz sepanjang aksi tersebut.
Malangnya, Barcelona sekadar berupaya meraih satu gol sahaja, itu pun menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Cadiz, Pedro Alcala pada minit ke-57. – AGENSI