fbpx

Keith Foo sebak tengok mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEITH Foo aktif menyertai aktiviti amal kebajikan di sekitar Negeri Sembilan.

PETALING JAYA – Pelakon Keith Foo berasa sebak sepanjang terbabit dalam sebuah misi kemanusiaan di sekitar Negeri Sembilan.

Berpeluang menyertai sebuah misi bersama St. John Ambulans Malaysia cawangan Negeri Sembilan (SJAMNS), pelakon drama Ariana Rose itu berkesempatan menghulurkan bantuan kecemasan dan kebajikan kepada sebahagian mangsa banjir di negeri berkenaan.

Kata pelakon yang berasal dari Gemas itu, ini bukan misi pertama yang pernah disertainya.

“Sudah banyak kali saya turut serta dalam misi seumpama ini. Cuma sejak menyertai SJAMNS awal tahun lalu, pembabitan saya lebih kerap tertumpu di Negeri Sembilan.

“Antaranya untuk program derma darah, kesedaran Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR), perkhidmatan ambulans sempena hari perayaan serta pengedaran peralatan perlindungan diri (PPE) ke hospital dan klinik.

“Terbaharu, saya menghulurkan bantuan makanan kepada 55 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir melanda di Seremban. Hati saya tersentuh. Ada golongan tua yang terlantar dan uzur terkesan dengan situasi itu,” katanya.

Menurut bapa tunggal kepada si comel Skylar Raymond Foo itu, ada ramai keluarga dan individu yang terjejas teruk ketika ini.

“Bayangkan saat berdepan dengan pandemik, kemudian tanpa diduga air bah yang datang menguji lagi keteguhan hati mereka.

“Harta benda, kereta dan pelbagai lagi rosak teruk dek banjir hingga sukar untuk dibaiki. Saya dimaklumkan banjir yang berlaku baru-baru ini pada waktu malam mencecah ketinggian dua meter.

“Ada antara mangsa yang tidak sedar air naik sampai ke paras katil. Ada juga yang terperangkap hingga perlu diselamatkan pihak penguasa,” katanya lagi.

Bagaimanapun kata Keith, dia bersyukur kerana jenama produk iaitu Crystal C White yang melantiknya sebagai duta telah banyak menyumbangkan derma sekali gus menyokong kerja amal berkenaan.

“Saya bersyukur orang kuat produk ini, Leinaa dan Reena tidak pernah berkira dalam soal menderma. Sumbangan ikhlas mereka amat saya hargai.

“Tidak dilupakan juga buat SJAMNS yang membuka ruang saya berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin turut memaklumkan yang dia juga berpeluang memandu ambulans ketika menjayakan misi berkenaan.

“Sudah beberapa kali juga saya memandu ambulans. Malah saya juga pernah menghadiri kursus untuk membawa kenderaan tersebut.

“Cuma entahlah, baru-baru ini saya rasa agak stres kerana memikirkan tanggungjawab yang perlu digalas untuk membantu masyarakat cukup besar,” katanya.

Keith dalam perkembangan lain baru saja selesai menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama. Antaranya Dia Bukan Bidadari dan WiFi Sebelah Rumah.

Keith juga turut membintangi drama KL Gangster Underworld musim kedua yang akan bersiaran di platform WeTV bermula 10 Disember ini.

K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI