fbpx

Kastam Sabah rampas dadah lebih RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdullah (tiga dari kanan) menunjukkan gambar sebahagian dadah yang dirampas JKDM Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Sebanyak 30 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta selain ganja seberat 5.7 kilogram bernilai RM10,389 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah membabitkan tiga serbuan berbeza pada 10, 25 dan 30 November lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, semua dadah berkenaan disembunyikan dalam beberapa bungkusan yang tidak dituntut.

“Kes pertama dilaporkan pada 10 November lalu selepas pasukan operasi Kastam menahan dan menyita beberapa buah bungkusan yang tidak dituntut oleh pemiliknya di salah sebuah gudang berlesen di Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan dihantar dari Semenanjung dan didapati berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 30 kilogram.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berkaitan kes setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Kastam Sabah hari ini.

Dalam pada itu, menerusi operasi berasingan pada 25 November lalu, Abdullah menyatakan anggota dan pegawai cawangan penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) melakukan satu lagi serbuan ke atas sebuah premis di Tuaran.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat bungkusan yang dituntut oleh pemilik premis terbabit yang turut disyaki mempunyai bahan terlarang.

“Serbuan yang turut menggunakan khidmat anjing pengesan itu telah menemui dua bungkusan berisi dadah jenis ganja seberat 2.898 kilogram bernilai RM5,216.40.

“Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah memaklumkan kes terbaru mengenai rampasan dadah dilaporkan pada 30 November lalu selepas pihaknya berjaya merampas sebuah bungkusan disyaki bahan terlarang.

“Hasil pemeriksaan lanjut kargo serta bungkusan itu, didapati berisi 2.874 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM5,173.20.

“Kita percaya kes terbabit mempunyai kaitan dengan tangkapan sebelummya kerana alamat yang ditulis pada bungkusan itu sama seperti alamat ganja yang dirampas sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, , JKDM Sabah sudah merampas dadah jenis syabu bernilai RM5.56 juta dan ganja bernilai RM37,142.82 sejak Januari hingga November tahun ini. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI