SURAT layang selalunya berkisar tentang penjelasan, tuduhan atau pengakuan tentang sesuatu.
Baru-baru ini, aktor Jamie Dornan menerima sepucuk surat layang yang berisi tuduhan aneh dan boleh disifatkan tidak masuk akal daripada seorang peminat.
Surat layang tersebut mengatakan Dornan sebenarnya mempunyai seorang anak perempuan hasil daripada hubungan sulitnya dengan pelakon, Dakota Johnson.
Seperti diketahui, Johnson merupakan pasangan Dornan sewaktu mereka sama-sama berlakon dalam filem Fifty Shades of Grey.
“Surat itu menyebut saya mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun. Lebih melucukan, anak itu dikatakan hasil hubungan sulit saya dengan Johnson. Ini memang kelakar,” ujar pelakon yang bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Wild Mountain Thyme itu.
Dornan bagaimanapun mengakui, ramai dalam kalangan peminat mahu melihat dia bersama-sama Johnson menjadi pasangan sebenar selepas bergandingan dalam filem Fifty Shades of Grey.