JAKARTA – Indonesia menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma China, Sinovac, demikian menurut pihak berkuasa ketika negara dengan populasi keempat paling ramai di dunia itu berusaha mengawal penularan wabak tersebut.
Bekalan vaksin itu tiba di Jakarta semalam menerusi sebuah penerbangan dari Beijing manakala sebanyak 1.8 juta dos vaksin tambahan dijangka dikirim sekali lagi pada Januari tahun depan.
Walaupun badan kawal selia China belum membuat keputusan berhubung pengedaran besar-besaran vaksin itu ke mana-mana negara, Beijing tetap memberi kelulusan awal kepada segelintir pembeli untuk kegunaan kecemasan.
Ketua Pasukan Tindak Balas Covid-19 Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, bekalan dos pertama itu akan diuji oleh agensi makanan dan ubat-ubatan, dengan rancangan untuk diagihkan kepada petugas perubatan dan lain-lain kumpulan berisiko tinggi.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) juga akan memeriksa bekalan pertama tersebut, kata pihak berkuasa sebagai langkah memastikan ia mematuhi kriteria halal di negara itu. Indonesia merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.
“Kami bersyukur dengan kebolehdapatan vaksin dan kami boleh dengan segera mengawal penularan wabak Covid-19.
“(Tetapi) saya perlu ulangi iaitu pertama, semua prosedur perlu diikuti dengan tepat untuk memastikan kesihatan awam dan keselamatan serta tahap keberkesanan vaksin,” kata Presiden Joko Widodo semalam.
Pada Ogos lalu, Indonesia mengadakan ujian ke atas manusia menggunakan vaksin buatan China tersebut Sinovac yang membabitkan kira-kira 1,600 sukarelawan dalam fasa klinikal selama enam bulan.
Pemerintah Kerajaan Indonesia sudah membuat bayaran 637 bilion rupiah (RM182 juta) untuk tiga juta dos vaksin Sinovac. Sebanyak 100,000 lagi dos akan dihantar oleh sebuah firma lain di China, CanSino.
“Kami jangka menerima pelbagai vaksin (dari negara lain) secara berperingkat pada 2021,” kata Menteri Luar, Retno Marsudi semalam.
Indonesia juga berbincang dengan firma farmaseutikal lain termasuk AstraZeneca di Britain.
Indonesia merupakan antara negara Asia Tenggara paling teruk terjejas dengan bilangan kes Covid-19 mencecah 575,000 dan mencatat lebih 17,000 kematian. – AFP