fbpx

Ahli perniagaan cuba rasuah polis didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samudin (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai polis 2 Disember lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba memberi rasuah RM45,000 kepada seorang pegawai polis di sebuah pusat hiburan di Ulu Tiram di sini pada awal minggu lalu.

Tertuduh, Samudin Kambali, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di bilik nombor 11, Angel Club Entertainment, Lot LG-03, Todays Mall, PTD 153691, Jalan Kota Tinggi, Ulu Tiram pada pukul 12.35 tengah malam, 2 Disember lalu.

Tertuduh cuba memberi suapan RM45,000 kepada seorang pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Superintendan Saifullah Jaya@Yahya supaya tidak mengambil tindakan terhadap 65 individu yang ditahan untuk menjalani ujian air kencing.

Suapan tersebut juga sebagai dorongan supaya polis tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Disebabkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun, dalam pendakwaannya memohon agar mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh RM40,000 dan melapor diri pada SPRM pada setiap bulan.

Peguam tertuduh, Mohammad
Muzammil Mohammad Hairiri dalam rayuannya, memohon agar dikurangkan jaminan kerana tertuduh menanggung lapan anak selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang ditahan reman.

Setelah mengambil kira rayuan tertuduh, Kamarudin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM pada setiap awal bulan selain menyerahkan passport kepada pihak mahkamah.

Mahkamah kemudian turut menetapkan tarikh 20 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes berkenaan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI