PETALING JAYA- Pihak pengurusan Zoo Negara berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula kebenaran pengoperasian pusat itu selepas ia ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Timbalan Presidennya, Rosly Ahmat Lana berkata, permintaan itu dibuat selepas kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri mulai esok selain beberapa negeri bebas PKPB.
“Kami sudah siapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima kedatangan pengungjung sekiranya kerajaan membenarkan operasi sepanjang PKPB tersebut.
“Antara SOP bakal digariskan termasuklah meletakkan tanda khas di bahu bagi pengunjung secara berkeluarga sekali gus bolehkan mereka berjalan secara berkumpulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Katanya, Zoo Negara turut menawarkan tiket masuk percuma kepada petugas barisan hadapan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menentang Covid-19.
“Mereka hanya perlu membawa kad kuasa dan menunjukkan kepada pihak Zoo Negara untuk tiket itu. Pun begitu, ia hanya diberikan kepada petugas itu sahaja dan bukan seluruh keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr. Kevin Lazarus turut berharap agar kebenaran perjalanan rentas negeri membolehkan jumlah pengunjung zoo semakin meningkat.
“Ketika ini, kami hanya mengharapkan kedatangan pengunjung dari Taiping, Perak sahaja dan berharap ia akan diperluaskan dari negeri-negeri lain termasuklah Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.
“Dengan penambahan pengungjung, ia membolehkan pendapatan zoo terus dijana,” katanya. -K! ONLINE