IPOH – UMNO memberi bayangan mahu mengekalkan kerjasama sedia ada iaitu Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) membentuk jajaran politik baharu di negeri itu.
“Seboleh mungkin kita akan kekalkan jajaran yang terdahulu (PN). Kita akan melihat semua kemungkinan yang ada.
“Tetapi jika itu tidak dapat dilakukan, tentunya ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP, Ahmad Zahid berkata, semua kemungkinan itu ada.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan muktamad yang akan dilakukan parti kelak,” katanya.
Katanya, pertemuan beliau dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO telah diadakan ketika Mesyuarat Perhubungan UMNO semalam.
Bagaimanapun, semua daripada mereka mengunci mulut ketika ditanyakan mengenai keputusan mesyuarat berkenaan. – K! ONLINE