fbpx

Tiada sesalan jadi pelayan kelas atasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AINA (bukan nama sebenar) tersenyum di hadapan cermin. Hatinya puas apabila mampu bermalam di sebuah suit mewah di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Akui gadis kelahiran Johor Bahru ini, dia tidak menyangka mampu menikmati kemewahan tersebut biarpun umurnya pada waktu itu baru sahaja berusia 20 tahun.

“Jika saya tidak menjadi pelayan kelas atasan, sampai kesudah saya tidak mampu merasai kemewahan yang selama ini hanya dilihat di kaca televisyen,” ceritanya dengan nada bangga kepada K2.

Mendengar pengakuannya itu, jelas menunjukkan Aina langsung tidak menyesal dengan apa yang dilakukannya.

Bercerita lanjut, menurut anak sulung daripada empat beradik ini, kesempitan hidup sejak kecil menjadi punca dirinya terjebak dengan kerja ‘menjual badan’.

“Ayah bekerja sebagai pemandu teksi. Ibu pula mengasuh anak orang. Jadi wang yang mereka ada tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarga besar kami. Semuanya sekadar cukup-cukup makan,” ujarnya sedikit kecewa.

Sedar kepayahan yang dialaminya, Aina nekad mahu mengubah nasib keluarga dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

Berkat ketekunannya itu, Aina berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Begitupun azamnya untuk belajar bersungguh-sungguh terganggu sebaik berada di universiti.

“Biasalah remaja, nafsu untuk berhibur bersama rakan membuak-buak.

“Disebabkan sedar diri tidak berduit, saya terpaksa pejamkan mata. Beberapa kali jugalah rakan mengajak saya keluar tetapi semuanya terpaksa ditolak kerana tidak cukup wang.

“Makan pun terpaksa dicatu, apatah lagi untuk membeli tiket wayang, kopi mahal dan berpeleseran seperti mereka,” ceritanya.

Dek cemburu dengan rakan-rakan, Aina pernah terfikir untuk mencuri wang teman sebilik.
Bagaimanapun, setiap kali ingin mencuri, ada sahaja halangan yang datang.

“Selepas beberapa percubaan mencuri gagal, saya nekad untuk fokus dalam pelajaran sahaja.
Hasilnya, saya berjaya mendapat anugerah dekan selama empat semester berturut-turut,” katanya.

 

WANG ribuan ringgit yang diterima terus menggelapkan mata Aina.–GAMBAR HIASAN

 

Disangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Azam Aina untuk fokus dalam pelajaran hanyalah hangat-hangat tahi ayam selepas dia mula terjebak dalam kancah hina itu.

Ujar Aina, semuanya berlaku dengan begitu pantas selepas dia mula mengenali wanita yang dikenali sebagai Madam Rose menerusi satu aplikasi dalam talian secara tidak sengaja.

“Daripada sapaan biasa, ia membawa saya ke lembah hina. Begitupun, saya langsung tidak menyesal dengan jalan yang dipilih,” jelasnya.

Di awal pertemuan, Madam Rose berselindung di sebalik imej sukarelawan yang suka membantu pelajar dalam kesusahan.

“Satu hari, dia membawa saya ke sebuah salun kecantikan untuk mengubah seluruh imej saya. Katanya mahu membawa saya pergi uji bakat menjadi model kerana pakej yang dimiliki.

“Namapun perempuan, sudah tentu saya teruja. Tambahan pula selama ini saya hanya mampu gigit jari apabila melihat rakan-rakan memakai pakaian cantik.

“Imej bertudung dan berbaju kurung bertukar serta-merta kepada seorang gadis seksi berambut perang yang memakai pakaian sendat dan singkat,” katanya.

Aina kemudian dibawa ke sebuah kelab mewah di pinggir ibu kota. Di situ, dia diperkenalkan dengan beberapa orang lelaki kaya atau berstatus kelas atasan pelbagai usia.

“Lama juga saya mengikuti Madam Rose. Bahagia rasanya apabila dibawa berhibur dan diberikan pakaian mahal-mahal.

“Sehinggalah satu hari dia meninggalkan saya di sebuah hotel bersama seorang rakan lelaki yang sering ditemui di kelab. Maka bermulalah episod saya sebagai seorang pelayan,” katanya.

Biarpun kini Aina sudah menamatkan pengajian namun dia masih melakukan perbuatan keji itu.

Jujur Aina, pada mulanya dia berasa sangat marah diperlakukan sedemikian rupa. Bagaimanapun dia mula gelap mata selepas kepingan wang berjumlah RM5,000 dicampakkan kepadanya.

“Tengok wang sahaja saya mula lupa apa itu pahala dan dosa. Dengan wang itu, saya mampu membeli apa sahaja yang diinginkan.

“Saya selesa hidup mewah dan senang seperti ini. Mungkin saya akan teruskan ‘kerjaya’ ini sehingga usia 30-an,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI