JOHOR BAHRU – Seorang ibu, Zainorimah Ludin terpaksa membuang rasa malu ketika memohon ihsan jirannya bagi mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian sejak 10 bulan lalu.
Situasi itu ekoran bekalan air dirumahnya dipotong pihak berkuasa selepas dia gagal menjelaskan bil tertunggak berjumlah RM1,500 kerana kekangan kewangan yang dihadapinya.
Lebih perit apabila wanita berumur 39 tahun itu terpaksa membesarkan enam anak berusia antara setahun hingga 21 tahun bersendirian selepas ditinggalkan suami dua tahun lalu.
Zainorimah berkata, dia tidak dapat menjelaskan bil air tersebut kerana tiada pendapatan selepas tempat kerjanya menutup sementara operasi ekoran pandemik Covid-19.
Menurutnya, dia baharu sahaja pulih daripada kemalangan pada Ogos tahun lalu yang menyebabkan kakinya patah.
“Setelah pulih, saya mendapat kerja sebagai pembantu dewan makan di sebuah institusi pengajian tinggi di Bandar Seri Alam April lalu.
“Bagaimanapun pusat itu ditutup ketika ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat menyebabkan saya hilang pendapatan,” katanya ketika ditemui di di Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Masai, Pasir Gudang.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak mendapat bekalan air bersih sejak Februari lalu.
“Sepanjang tempoh ini saya dan anak-anak mengharapkan ihsan jiran untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan memasak, mandi dan sebagainya.
“Dalam tempoh ini juga, saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan keluarga dan bersyukur ada jiran dan masyarakat setempat sudi menghulurkan bantuan,” ujarnya.
Dia yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan berharap dapat mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Saya reda dengan ketentuan Ilahi, bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana anak-anak tidak cerewet, mereka makan sahaja apa yang ada,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya, di talian 011-2871 6774 atau menyumbang menerusi akaun Maybank miliknya, 151146588322.