PENGALAMAN membuat liputan aktiviti berbasikal Anniversary Ride bersama pasukan CTDK Cycling Team sempena meraikan ulang tahun perkahwinan penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami sekitar Ogos lalu masih berbekas dalam ingatan penulis.
Memandu dari ibu kota tepat pukul 9 pagi dengan perjalanan yang boleh dikatakan cukup mencabar kerana perlu menempuh jalan berliku dan berbukit selama dua jam sebelum selamat sampai ke puncak Bukit Fraser, Pahang.
Semasa menemu bual penyanyi bersuara bersuara merdu itu, hati penulis sebenarnya cukup berdebar bersulam teruja, maklumlah sebelum itu, sudah timbul desas-desus mengatakan beliau akan mula berehat bagi menumpukan perhatian terhadap ‘sesuatu’.
Sewaktu menemu bualnya, Siti yang memaklumkan beliau tetap bekerja seperti biasa. Bagaimanapun, peminat sendiri dapat melihat rentak karier penyanyi itu sedikit perlahan sejak beberapa bulan lalu.
Sehinggalah pada sekitar September lalu, nama Siti menjadi buah mulut gara-gara reaksi spontan puteri sulungnya, Siti Aafiyah yang mengucapkan perkataan ‘baby’ sebelum mencium perutnya ketika beliau bersiaran langsung dalam Instagram.
Sejak dari momen ‘comel’ tersebut, peminat memulakan episod berteka-teki, adakah benar pelantun yang bukan sahaja disayangi di Malaysia bahkan banyak negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei itu sedang hamil.
Satu persatu persoalan bersiri ditimbulkan peminat yang mula mengambil alih posisi sebagai penyiasat handalan bagi membuktikan penyanyi kesayangan mereka bakal menimang cahaya mata kedua.
Sepanjang dua minggu lalu juga, muncul beberapa kisah tular berhubung perkara serupa apabila sebuah video dimuat naik Siti dalam InstaStorynya mencuri perhatian.
Hal ini kerana, ada mata yang dapat menangkap perubahan bahagian perut Siti yang kelihatan seperti ada baby bump.
Menamatkan desas-desus yang bertebaran kencang sejak dua minggu lalu dan enggan lagi membiarkan peminat berteka-teki, Siti akhirnya mengakui bahawa beliau sedang hamil lebih empat bulan.
Pengumuman istimewa yang dinantikan semua peminat berkenaan dibuat ketika beliau muncul dalam majlis pelancaran jalinan kerjasama produk terbaharu keluarannya, Beausiti X Wonderlab yang berlangsung secara maya pada Selasa lalu.
“Ramai yang membuat andaian tentang kehamilan saya sebelum ini. Hari ini adalah waktu yang sesuai untuk dikongsikan bersama peminat.
“Alhamdulillah, saya dan suami mahu berkongsi kepada anda semua bahawa memang benar saya sedang hamil anak kedua,” ujarnya bernada ceria di samping suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa (Datuk K) yang turut hadir pada acara berkenaan.
IVF, emosi
Ditebak dengan pertanyaan bagaimana perasaannya ketika kembali berbadan dua, Siti mengakui kondisinya seperti hilang kata-kata. Beliau cukup sedar, sejak dari dahulu potensinya untuk mendapatkan cahaya mata agak sukar.
Apatah lagi, kehamilan keduanya itu juga menggunakan proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF), situasi sama yang dilalui semasa menantikan kehadiran si comel Aafiyah.
“Disebabkan pernah melalui kegagalan, jadi waktu itu saya rasa berbelah bahagi antara berharap atau tidak. Aafiyah ialah rezeki terindah yang Allah beri kepada saya.
“Ketika buat proses IVF, saya tertanya-tanya apakah Allah masih memberi saya peluang menimang cahaya mata sekali lagi.
“Syukur alhamdulillah, kandungan ini adalah jawapan kepada soalan saya. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya sebaik mengetahui sedang hamil,” tuturnya berbaur sebak.
Meskipun melalui proses sama seperti tiga tahun lalu, penyanyi berusia 41 tahun itu berkongsi pengalaman bahawa kehamilan kali ini cukup berbeza.
Jika sebelum ini, Siti pernah mengalami pendarahan ketika awal kehamilan, tetapi kali ini, beliau lega kerana semuanya berjalan lancar. Kehamilan keduanya selepas tidak lagi berdepan masalah serupa.
“Awal kehamilan tiada masalah, semuanya dipermudahkan, alhamdulillah. Cuma kehamilan kedua ini berbeza dari segi tenaga. Saya berasa lebih penat berbanding pengalaman kali pertama.
“Saya juga menjadi lebih beremosi. Contohnya kalau menonton cerita dalam televisyen, saya menangis kalau ada babak sedih. Kalau baca sesuatu dalam Instagram pun kadang-kadang saya boleh menangis.
“Mungkin kerana faktor usia, tahun depan saya sudah 42 tahun. Lagi pun pengalaman mengandung setiap anak berbeza,” ujar Siti teruja bercerita pengalamannya.
Pandemik, Aafiyah bakal kakak
Bergelar ibu hamil sewaktu pandemik melanda negara pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dijalani terutamanya dari segi emosi. Bagaimanapun, hikmah duduk di rumah merupakan peluang terbaik untuk penyanyi Siapa Tak Mahu itu fokus sepenuhnya terhadap kandungan.
“Sebenarnya, saya rancang untuk menjalani proses IVF lebih awal. Disebabkan Covid-19 agak serius, saya tunda dulu. Apabila situasi sedikit reda, barulah saya teruskan.
“Jujur, saya bimbang untuk melalui proses kehamilan ketika pandemik. Sejak awal kehamilan sehinggalah sekarang, saya sangat berjaga-jaga dan tidak keluar ke mana-mana pun,” kata Siti yang dijangka bersalin pada April tahun depan.
Menyentuh soal reaksi dan emosi anak pertamanya, Aafiyah yang akan menerima kehadiran orang baharu tidak lama lagi, Siti hanya tertawa mengenangkan keletah puteri kesayangannya itu.
Ujar penyanyi dan juga usahawan itu, Aafiyah cukup teruja sewaktu dimaklumkan dirinya akan bergelar seorang kakak.
“Sewaktu saya cerita dalam perut ada baby, dia tahu tetapi tidak pandai untuk gambarkan macam mana. Aafiyah sangat teruja dan gembira, sebab itu sampai terlepas cakap dalam Instagram Live saya tempoh hari,” katanya sambil menghambur tawa bahagia.