PETALING JAYA – Seramai 20 individu termasuk seorang wanita ditahan selepas terlibat aktiviti parti dadah dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail hari ini.
Serbuan pukul 1 pagi itu turut membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah termasuk ganja, syabu dan ketamin yang dipercayai untuk kegunaan suspek.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata,serbuan pertama membawa kepada tangkapan lima lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 27 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam unit tersebut polis menemui pil erimin 5, ganja, syabu, ketamin serta peralatan untuk menghisap dadah.
“Hasil saringan mendapati empat daripada suspek itu positif dadah.
“Sejam selepas itu pihaknya menyerbu sebuah lagi unit sebelum menahan 14 lelaki tempatan yang sedang leka melayan muzik selain 13 daripadanya berada dalam pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati parti dadah itu dilakukan oleh dua penganjur berbeza dan masing-masing tidak mengenali satu sama lain.
“Mereka (suspek) menerima jemputan menerusi aplikasi WhatsApp dan kondominum itu disewa dengan harga RM225 serta RM500 secara online.
“Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” ujarnya. – K! ONLINE