SAO PAOLO, Brazil – Seorang anggota polis mengacu pistol ke arah rakannya kerana berang ditegur lambat kembali bertugas selepas waktu rehat tengah hari, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Insiden yang berlaku di tengah-tengah bandar Sao Paolo sempat dirakam oleh orang ramai yang sebenarnya bingung dengan kejadian tersebut.
Menurut laporan media tempatan UOL, Prebet Felipe do Nascimento tiba lima minit lewat selepas rehat makan tengah hari.
Do Nascimento hilang pertimbangan dan menjadi berang apabila Koperal Marcio Simao memaklumkan mahu melaporkan isu kelewatan itu kepada sarjan mereka.
Ini disebabkan kelewatan do Nascimento mengakibatkan Simao tidak dapat menikmati waktu rehatnya.
Beberapa rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan do Nascimento memarahi Simao lalu mengacukan sepucuk pistol ke mukanya. Beberapa individu yang melihat kejadian itu mencabar polis berkenaan untuk menarik picu pistol.
Simao cuba merampas senjata api itu daripada do Nascimento namun gagal.
Akhirnya, anggota polis lain yang melihat kejadian itu segera campur tangan dan menahan do Nascimento.
Polis Tentera mengumumkan do Nascimento dan Simao digantung tugas ekoran perbuatan mereka dan menggambarkan insiden itu sebagai amat memalukan dan serius.
“Sikap yang ditunjukkan secara langsung melanggar nilai-nilai asas institusi ini terutama dari sudut disiplin, profesionalisme, kemuliaan dan kemanusiaan.
“Kejadian ini menuntut hukuman yang berat setimpal dengan kesalahan serius yang dibuat,” menurut kenyataan pihak berkuasa. – Agensi