MANAMA, Bahrain – Juara Formula Satu (F1), Lewis Hamilton yang dijangkiti wabak Covid-19 hampir pasti terlepas beraksi pada perlumbaan terakhir di Grand Prix (GP) Abu Dhabi apabila masih belum pulih.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata, meskipun Hamilton mempunyai simptom sederhana Covid-19, namun ia tidak boleh dipandang ringan dan pihaknya memandang serius soal kesihatan.
Ujarnya, pelumba berusia 35 tahun itu sekarang dalam proses kuarantin selama 10 hari mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Apa yang saya boleh katakan ialah dia (Hamilton) tidak berada dalam keadaan baik. Covid-19 tidak boleh dipandang ringan dan dia kini dijaga rapi. Itu yang paling penting,” kata Wolff.
Pada perlumbaan minggu ini di GP Sakhir, tempat Hamilton diambil alih George Russel selepas mencatat pusingan terpantas pada sesi latihan awal.
Hamilton adalah pelumba ketiga tahun ini terlepas perlumbaan F1 selepas dijangkiti wabak pembunuh tersebut.
Dalam pada itu, Hamilton menegaskan dia sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang perlumbaan musim ini.
“Sejak kami memulakan musim ini pada Jun lalu pasukan dan saya sentiasa mengikuti segala prosedur yang ditetapkan untuk memastikan kami berada dalam keadaan selamat.
“Malangnya, walaupun saya sudah tiga kali mendapat keputusan negatif sebelum ini, namun ketika kali ini saya berasa sedikit simptom dan meminta untuk melakukan ujian sekali lagi, keputusannya positif.
“Saya bernasib baik hanya mengalami simptom biasa. Semoga semua akan sentiasa sihat dan menjaga diri masing-masing,” kata Hamilton dalam Instagramnya. – AGENSI