fbpx

Mat motor gigit telinga konduktor bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki berbaju biru ini dilaporkan putus cuping telinga akibat digigit seorang suspek dalam satu kejadian di Jawa Timur kelmarin. – POLIS KRIAN

JAKARTA – Seorang lelaki ditahan kerana menggigit cuping te­linga konduktor bas hingga putus kerana motosikalnya dihalang daripada memotong bas ber­kenaan, lapor laman berita Tribun News.

Insiden itu dilaporkan berlaku di sebatang jalan di Desa Tambak Kemeraan, Kecamatan Krian, Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia kelmarin.

Ketua Polis Krian, Asisten Komisioner Mukhlason berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas penunggang motosikal terbabit berasa marah selepas gagal memotong bas yang berada di hadapannya.

“Semasa suspek memecut laju, sebuah bas yang berada di hadapannya tidak memberi peluang kepada lelaki itu untuk memotongnya.

“Tiba-tiba datang sebuah bas lain dari arah belakang membu­n­yikan hon dan membuatkan suspek terkejut dan marah,” jelas beliau.

Mukhlason berkata, selepas beberapa minit, suspek berjaya memotong bas berkenaan yang berhenti untuk menurunkan penumpang.

“Suspek turut berhenti dan cuba memukul pemandu bas berkenaan tetapi tidak berjaya.

“Bas itu meneruskan perjalanan dan meninggalkan penunggang motosikal berkenaan,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ, Mukhlason berkata, suspek terus mengejar bas itu sehingga berhenti kali kedua di sebuah perhentian.

“Ketika itu, konduktor bas turun lalu menghampiri suspek sebelum penunggang motosikal itu memukulnya menggunakan topi keledar.

“Suspek kemudian terus me­rangkul mangsa lalu menggi­git telinga konduktor bus hingga cupingnya terputus,” ujarnya.

Tambah Mukhlason, akibat kejadian tersebut mangsa yang berumur 36 tahun dikejarkan ke hospital berhampiran oleh orang ramai yang berada di situ.

“Sejurus kejadian, suspek ditahan oleh sekumpulan anggota polis yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian serangan, Dia dibawa ke Balai Polis Krian untuk disoal siasat,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI