HULU LANGAT – Lembaga Zakat Selangor menjangkakan jumlah kutipan zakat pada tahun depan bagi setiap institusi zakat negeri termasuk Selangor berkurang susulan penularan pandemilk Covid-19.
Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid berkata, keadaan itu berlaku disebabkan banyak perniagaan yang mengalami kerugian dan ada antara individu yang telah dihentikan kerja ketika ini.
Menurutnya, situasi itu sekali gus akan memberi kesan kepada jumlah bantuan yang akan disalurkan kepada golongan asnaf pada masa akan datang.
“Pada tahun ini, kita yakin dapat mencapai sasaran kutipan iaitu sekitar RM860 juta. Apa yang merisaukan adalah kutipan untuk tahun depan yang dijangka akan merosot kesan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Banyak pengeluar (pembayar zakat) yang membuat potongan gaji bulanan serta pembayaran melalui zakat perniagaan. Jika kedua-duanya terkesan, ia akan memberi impak kepada bantuan yang akan disalurkan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menziarahi sebuah keluarga enam adik beradik di Pekan Batu 18, di sini semalam yang kehilangan ibu mereka, Rosni Abd Razak, 44 selepas terbabit dalam kemalangan pada 28 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, Rosni yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua maut dirempuh sebuah kereta di hadapan Maahad Tahfiz Wadi Faham, Batu 17, Dusun Tua di sini.
Pada kunjungan tersebut, LZS telah menghulurkan sumbangan berbentuk khairat kematian, bantuan keperluan sekolah dan harian bagi meringan beban enam adik beradik yang berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun. – K! ONLINE