KUALA TERENGGANU – Jenama bungkusan daging sejuk beku yang dibungkus semula dengan logo pengesahan halal yang terbongkar baru-baru ini akan diumumkan pada masa terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pengumuman jenama bungkusan daging sejuk beku tidak halal itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.
“Kementerian memahami keresahan pengguna khususnya beragama Islam tentang pembongkaran penjualan daging sejuk beku yang dibungkus semula sebagai halal berkenaan.
“Sehubungan itu, jenama bungkusan daging sejuk beku berkenaan akan diumum pada masa terdekat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya ketika ditemui ketika menziarah beberapa penduduk di Pulau Bahagia di sini hari ini.
Rosol berkata, pihaknya memahami isu menjual daging sejuk beku yang dibungkus semula dengan logo pengesahan halal sangat sensitif dan perlu dipandang serius.
Menurut beliau, penyalahgunaan logo pengesahan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu ditangani segera kerana ia telah menjejaskan jutaan pengguna Islam dan imej negara sebagai pengeluar produk halal global.
“Saya cadangkan Jakim agar melakukan penambahbaikan terhadap logo pengesahan halal agar tidak mudah ditiru pihak tidak bertanggungjawab.
“Antara pendekatan boleh diambil ialah mendigitalkan logo pengesahan halal seperti mewujudkan kod imbasan QR membolehkan pengguna mengetahui kesahihan logo pengesahan halal pada setiap produk dengan pantas,” katanya. – K! ONLINE