Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Pengguna media sosial dinasihatkan supaya menjaga sensitiviti umum dengan tidak lagi menyebar serta menularkan gambar dan video berkaitan kemalangan jalan raya yang menimpa pemain kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad, 25, dan keluarganya itu di sini, awal pagi tadi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebaliknya berkata, memadailah jika mereka mendoakan agar bintang skuad bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan.
“Saya dapati sudah banyak gambar dan video beliau berlegar di media sosial ketika ini dan saya fikir dalam hal ini, kita sepatutnya menjadi lebih bertanggungjawab.
“Menghadapi sesuatu kehilangan ini bukan perkara yang mudah dan saya juga berharap agar media tidak keterlaluan dalam melaporkan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui semasa melawat bekas pemain takraw kebangsaan, Muhammad Kamal Ishak, 27, di Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail dan Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.
Dalam kemalangan di kilometer 163.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini kira-kira pukul 4 pagi tadi, bayi lelaki, ibu mertua serta seorang pembantu rumahnya terkorban manakala dia, isteri serta seorang lagi anak mereka pula cedera.
Sementara itu, Reezal Merican turut menyerahkan replika cek sumbangan insurans Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM104,500 kepada Muhammad Kamal semasa lawatan singkatnya ke kediaman bekas atlet kebangsaan itu.
Muhammad Kamal yang juga tonggak skuad Black Panther Pulau Pinang itu sebelum ini terlibat dengan satu kemalangan jalan raya di ibu kota, Februari tahun lepas.
Akibat kemalangan itu, dia kini terpaksa berkerusi roda dan mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan termasuk bisnes minuman dan pencetakan baju.
Dalam pada itu, Muhammad Kamal memberitahu, keadaan kesihatannya kini semakin baik dan dia juga sedang menanti tarikh untuk majlis konvokesyen di Universiti Putra Malaysia selain menunggu keputusan panggilan temuduga sebagai seorang guru pendidikan jasmani.
Katanya, ketika ini, hanya isterinya iaitu Nik Norzilawati Nik Wil, 25, masih mengikuti kelas atau pengajian secara dalam talian di universiti yang sama dalam jurusan komunikasi. – K! ONLINE